Popular Posts

Sejarah Gamelan Pahang








Di dalam Hikayat Pahang ada dicatatkan bahawa dalam tahun 1835 Dato' Bendahara Seri Maharaja (1806 - 1857) telah berangkat ke Lingga kerana hendak mengangkat gelaran puteranya Sultan Muzaffar Syah. Perayaan tersebut diserikan dengan pelbagai upacara dan temasya termasuk perjudian, menyabung ayam dan persembahan kesenian. Diantara kesenian yang dipersembahkan ialah gamelan.

Baginda amat tertarik hati dengan persembahan gemelan. Baginda langsung membawa balik ke Pahang satu set alat gamelan yang mengadungi tujuh jenis alat iaitu : Satu set Kerombong, gambang, demong, saron, kenong, gong dan gendang. Sebenarnya inilah bermulanya apa yang dikenal dengan Joget Pahang - yang juga dikenali dengan Gamelan Pahang. Set asal yang dibawa balik dari Lingga ini sekarang ada di Muzium Sultan Abu Bakar Pahang.

Seorang pemain muzik gamelan dari Lingga turut dibawa balik ke Pahang untuk dijadikan jurutunjuk. Beliau adalah Encik Basuk dan telah melatih anak tempatan seperti Mohd Salleh (Wak Leh, Ibrahim b Lambak (Pak Ahim), Awang Hassan b Awang Santan dan Mahussin. Pemain gemelan barisan kedua menerima tunjukajar dari barisan pertama ialah Pak Omar, Pak Buang, Man Candu, Wan Muhammad dan Wan Ahmad.

Tengku Ampuan Mariam telah membuat beberapa catatan mengenai Joget Pahang atau Gamelan Pahang. Sebanyak limapuluh buah lagu yang digunakan di dalam persembahan Joget Pahang. Diantaranya terdapat enam buah lagu yang merupakan lagu-lagu cepat rentak tariannya. Lagu-lagu itu ialah Ayak-ayak, Lantai Lima, Ketawang, Togok, Anom/Munga dan Topeng/Tompeng. Apabila kumpulan muzik ini matang barulah dibentuk kumpulan penari-penarinya yang terdiri daripada Som binti Tun Abdullah, Wan Chantek b Wan Mohd Amin, Nah (Maimunah), Piah, Yang Khoja, Sokma dengan Wan Halimah sebagai Mak Andam, Chik (Joget), Ganda, Incek Yam. Kumpulan muzik dan tarian ini berlatih dan selalu mempersembahkan "Joget Pahang" di Balai Istana Pantai - salah sebuah Istana Sultan Ahmad.

Joget Pahang lazimnya dipersembahkan dalam upacara-upacara tertentu seperti untuk meraikan tetamu istimewa di dalam majlis-majlis istiadaat seperti Perkahwinan Di Raja dan seumpamanya. Antara upacara-upacara tertentu di mana pesembahan Joget Pahang dipersembahkan ialah: 1875 - Lawatan Frank Swettenham ke Pahang di Istana Sultan Ahmad di Pekan (Istana Pantai), 1885 - Perkahwinan Di Raja Sultan Zainal Abidin II Trengganu dengan Tengku Long (puteri Sultan Ahmad Pahang) di Istana Rupa. 1910 - Istiadaat Perkahwinan Di Raja Sultan Sulaiman Trenggnau dengan Tengku Mariam (puteri Sultan Ahmad Pahang) Istana Cik Bedah. 1910 - Kemuncak perkembangan gamelan (Joget Pahang) wujudnya tiga kumpulan penari yang berasingan yang tiap-tiap satu dipimpin oleh permaisuri/isteri Sultan Ahmad sendiri. Kumpulan I - Tengku Ampuan Fatimah. Kumpulan 2 - Zubedah (Bedah) dan Kumpulan 3 - Besar. Di bawah naungan Sultan Ahmad, Zubedah sangat mengambil berat dan pandai menjaga hati penari-penarinya. Zubedah menggalakkan puterinya Tengku Mariam untuk turut mempelajari kesenian itu.

Rakyat jelata di sekitar Bandar Di Raja Pekan menyambut baik kesenian ini dan senantisa dalam keadaan menunggu-menunggu saat Joget Pahang dipersembahkan untuk ditontoni ramai. Apabila terdengar ketukan alat-alat muzik gamelan, orang ramai pun berpusu-pusu keluar untuk menontoni. Mereka sanggup menunggu sehingga larut malam, lazimnya persembahan Joget Pahang diadakan di Balai Istana Sultan Ahmad mulai jam 9.00 malam hingga jam 3.00 pagi.

Selepas kemangkatan Sultan Ahmad - 1914, tiada seorang pun dari kedua waris baginda, Sultan Mahmud (1914-1917) dan Sultan Abdullah (1917-1932) yang menyambung usaha baginda memelihara permainan kesenian yang sudah bertapak semenjak hampir lapan puluh tahun selepas set gamelan dan jurutunjuk dari Lingga dibawa ke Pahang.

Selepas kemangkatan Sultan Ahmad, Zubedah berangkat ke Terengganu untuk tinggal besama puterinya Tengku Ampuan Mariam. Dalam tahun 1915 set gamelan yang di bawah jagaannya di Pahang dipinjamkan ke Istana Maziah Kuala Trengganu. Pada tahun 1920 beberapa orang penari gamelan Pahang seperti Chik Yang Khoja dan Chik Meriam dan beberapa orang pemuzik seperti Encik Wan Muhamad, Wan Ahmad, Encik Ibrahim di bawah pimpinan Mohd Salleh yang juga seorang dalang yang terkenal di Pahang di bawa ke Trengganu untuk melatih kumpulan gamelan Trengganu di bawah kelolaan Tengku Ampuan Mariam dan Sultan Sulaiman sendiri. Dalam tahun 1973 Sultan Abu Bakar mengambil kembali set gamelan Pahang dari Tengku Ampuan Mariam di Kuala Trenggnu dengan bayaran saguhati berjumlah RM25,000.00 untuk disimpan di Istana Abu Bakar Pekan dan dalam tahun 1976 set gamelan ini dihadiahkan kepada Muzium Sultan Abu Bakar bersama-sama koleksi dari Istana Kurniaan KDYMM Sultan Pahang untuk di pamerkan di Balai Pameran Di Raja. Pada 28hb Mac 1980 dalam Mesyuarat Lembaga Muzium Negeri Pahang kali ke 31, Lembaga telah meluluskan satu kertas kerja untuk menghidupkan kembali gamelan (Joget Pahang). Kurator Muzium Sultan Abu Bakar telah memilih tujuh orang kakitangan muzium yang berminat untuk menjalani latihan muzik gamelan yang terdiri daripada Encik Aminallah Haji Ali - (Kerombong,) Encik Alauddin Abdullah - (Gambang), Haji Asmat Abdullah -(gong) Encik Jamaluddin Mat Ali - (Demong), Encik Awang Kechik Jusoh - (Saron), Encik Mohd Aidi b Othman - (Kenong) dan Encik Mohd Tahir Harun - (Gendang).

No comments:

Post a Comment